SEORANG lelaki berusia 39 tahun maut apabila lori yang dipandunya dirempuh dari bahagian belakang oleh sebuah kereta jenis Honda FD pagi tadi.
Balai Bomba Penyelamat (BBP) Renggam dalam kenyataan hari ini memaklumkan, mangsa telah tersepit di ruangan sebelah pemandu.
Jelas kenyataan tersebut, mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba melalui cermin hadapan lori.
“Kita berjaya mengeluarkan mangsa setelah menjalankan kerja pengurusan kaca dan memotong menggunakan peralatan khas.
“Bagaimanapun, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan ambulans dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelas kenyataan tersebut.
Kenyataan tersebut memaklumkan, pemandu kereta Honda FD yang merupakan seorang lelaki dewasa berusia 24 tahun terselamat dalam kejadian tersebut.
Difahamkan, mangsa yang meninggal dunia memandu lori jenis Isuzu yang membawa muatan ayam dilanggar dari bahagian belakang oleh kereta jenis Honda FD di Kilometer (KM) 46 Lebuhraya Utara-Selatan.
Oleh Muhamad Izzat Nasuruden
July 16, 2023